Friday, 20 December 2013

Aktivis Saudi Dipenjara 4 Tahun Dan Sebat 300


RIYADH - ARAB SAUDI. Mahkamah di Arab Saudi menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan 300 sebatan terhadap seorang aktivis selepas didapati bersalah kerana menuntut demokrasi di negara itu, menurut Persatuan Hak Asasi Awam dan Politik (ACPRA).

Jurucakap ACPRA memberitahu bahawa Omar al-Saeed yang tidak diwakili peguam ketika dibicarakan adalah ahli keempat persatuan itu yang dihukum penjara pada tahun ini.

Sementara itu, laporan dipetik dari Reuters, Pemerhati Hak Asasi Manusia di Timur Tengah, Adam Coogle menyifatkan ia sebagai satu lagi contoh keangkuhan pihak berkuasa Saudi.

"Mereka seperti tidak boleh menerima sebarang kritikan terhadap dasar negara atau pencabulan hak asasi manusia di negara tersebut," katanya.

Boikot Israel




WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Kira-kira dua pertiga daripada 1,252 ahli akademik Persatuan Pengajian Amerika Syarikat (Asa), kelmarin sebulat suara menyokong resolusi memboikot Israel.

"Semasa perbincangan terbuka baru-baru ini, beberapa ahli meminta kami menggubal draf resolusi yang bertujuan untuk 'menghukum' Israel kerana melakukan penindasan berterusan ke atas penduduk Palestin," jelas jurucakap Asa.

Kempen itu juga bertujuan untuk memutuskan hubungan dan kerjasama dengan semua institusi pengajian di Israel yang telah dijalinkan sejak sedekad lalu.

Difahamkan, dipetik dari AFP, persatuan terbesar yang melakukan penyelidikan ke atas sejarah dan adat kebudayaan AS itu turut melancarkan kempen secara dalam talian bagi meraih sokongan masyarakat.

Mei lalu, ahli kosmologi Britain, Stephen Hawking menarik diri daripada sebuah persidangan berprestij di Israel sebagai protes terhadap pendudukan rejim Zionis di Tebing Barat.

Kerajaan Perpaduan Hamas-Fatah




Hamas dilaporkan bersetuju menyertai kerajaan perpaduan dengan Fatah.

Agensi berita Ma’an melaporkan, Hamas secara rasmi memaklumkan perkara itu kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas.


“Pemimpin Hamas, Khalid Mashaal dan Perdana Menteri Ismail Haniyeh menghubungi Mahmoud untuk membincangkan hal itu,” memetik laporan tersebut kepada PIC.
 

Tuduhan Baru Untuk Mursi




KAHERAH - MESIR. Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi bakal dibicarakan atas beberapa pertuduhan baharu termasuk bersubahat dengan pergerakan asing bagi melakukan keganasan.

Al Jazeera melaporkan, pertuduhan yang diumumkan pendakwa raya kanan semalam, berpotensi membawa hukuman mati.


"Perbicaraan tersebut turut membabitkan dua orang pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin dan 32 defendan lain.


"Mereka didakwa membocorkan rahsia pihak tentera kepada negara luar," menurut laporan itu kepada Al Jazeera.


Dalam satu kenyataan, pendakwa raya berkata, Ikhwanul Muslimin dituduh melakukan keganasan di Mesir serta menyediakan pelan yang membabitkan pergerakan Hamas di Genting Gaza dan pergerakan Hezbollah di Lubnan.


Hamas bagaimanapun mengutuk tuduhan berkenaan yang disifatkan sebagai satu lagi usaha mengaitkannya dalam hal ehwal dalaman Mesir dan bertujuan memburukkan nama pergerakan itu kepada penyokong rakyat Palestin terutamanya Gaza.


Mursi kini masih berdepan dengan perbicaraan atas pertuduhan menghasut keganasan ketika tunjuk perasaan di perkarangan Istana Presiden setahun lalu ketika menjawat jawatan Presiden.

 

Tuesday, 17 September 2013

Bukti Senjata Kimia Di Syria



NEW YORK: Pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menemui bukti jelas dan meyakinkan bahawa roket membawa gas saraf digunakan dalam serangan senjata kimia di luar Damsyik pada 21 Ogos lalu.
Pengesahan itu terkandung dalam laporan yang dibentangkan kepada Majlis Keselamatan PBB kelmarin.
"Sampel sekitaran, bahan kimia dan perubatan yang kami kumpul menunjukkan bukti jelas dan meyakinkan bahawa roket yang membawa gas saraf sarin telah digunakan," kata laporan itu.
Ketika ditemui wartawan selepas memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, berkata: "Ini satu jenayah perang... dan penggunaan senjata pemusnah raya terburuk dalam abad ke21."
Beliau berkata laporan itu turut mendedahkan bagaimana doktor merawat orang awam yang kelihatan tidak mempunyai sebarang kesan cedera di jalan-jalan raya Ghouta beberapa jam selepas serangan itu.
Laporan tersebut tidak pula mempunyai mandat untuk menyatakan sama ada serangan kimia itu dilancarkan pemerintah Syria atau golongan pemberontak.
Bagaimanapun, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius, berkata bukti yang dibentangkan merinyu PBB, termasuk butiran trajektori roket yang digunakan, memberi gambaran jelas bahawa pemerintah bertanggungjawab atas serangan yang mengorbankan sekitar 1,400 orang itu.
Duta Amerika Syarikat ke PBB, Samantha Power, ketika ditemui wartawan selepas taklimat Majlis Keselamatan kelmarin, berkata "butiran teknikal laporan PBB itu jelas membayangkan bahawa hanya rejim (pemerintah Syria) yang mampu melancarkan serangan senjata kimia sebesar itu".
Power berkata salah satu senjata yang digunakan dalam serangan itu, iaitu roket 122mm, telah digunakan askar pemerintah dalam serangan lain sebelum ini.
Menurutnya, Amerika tidak mempunyai bukti bahawa pemberontak Syria telah menghasilkan atau menggunakan roket serupa itu. - AP, AFP.