Friday, 28 December 2012

Russia Gesa Rejim Syria Dialog





MOSCOW: Russia semalam menggesa rejim Syria yang dipimpin Presiden Bashar Al-Assad mengadakan dialog dengan pembangkangnya, yang dilihat lebih memihak kepada satu usaha diplomatik bagi mengakhiri konflik di Syria.
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, berkata beliau telah menggesa Timbalan Menteri Luar Syria, Faisal Makdad, supaya menekankan keterbukaan pemerintahnya terhadap dialog dengan pembangkang semasa mereka berunding di Moscow kelmarin. - Reuters.


Tuesday, 25 December 2012

Warga Mesir sokong Perlembagaan Baru


KAHERAH: Mesir telah menerima perlembagaan yang dilakar golongan Islamis, dengan sokongan dua pertiga pengundi dalam pungutan suara yang didahului bantahan selama berminggu-minggu, lapor media rasmi negara itu semalam.

Pembangkang berfahaman sekular mendakwa penipuan berlaku dalam kedua-dua pusingan pungutan suara itu dan sedang memikirkan langkah seterusnya dalam kempen mereka menentang perlembagaan tersebut, yang menurut mereka mengehadkan kebebasan golongan penganut agama minoriti dan kaum wanita.
Keputusan rasmi pungutan suara berkaitan perlembagaan baru Mesir dijangka akan diumum hari ini.
Keputusan tidak rasmi yang diberikan oleh media rasmi Mesir dan penyokong Presiden Mohamed Mursi daripada kumpulan Persaudaraan Islam menyatakan bahawa 64 peratus pengundi menyokong perlembagaan baru itu.
"Rakyat Mesir meneruskan kemaraan mereka terhadap memuktamadkan pembinaan negara moden demokratik, setelah meninggalkan penindasan," ujar sayap politik Persaudaraan Islam, Parti Kebebasan dan Keadilan, dalam satu kenyataan.
Kelulusan bagi perlembagaan itu bermakna pilihan raya umum akan diadakan dalam masa dua bulan bagi menggantikan dewan yang dikuasai golongan Islamis yang dibubar mahkamah perlembagaan Mesir sebelum Mursi dipilih Jun lalu.
Sementara itu, semua urusan perundangan akan diuruskan dewan senat, yang juga dikuasai golongan Islamis.
Kelmarin, Mursi melantik 90 senator tambahan, termasuk lapan wanita dan 12 penganut Kristian, bagi melanjutkan "dialog kebangsaan", kata jurucakap beliau.
Kumpulan pembangkang utama, Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF), telah cuba mengganggu pungutan suara berhubung perlembagaan baru itu dengan mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran sebelum mengalihkan tumpuan pada saat-saat akhir kepada usaha memastikan perlembagaan itu tidak mendapat sokongan.
Teks perlembagaan itu dilakar panel yang dikuasai anggota Persaudaraan Islam dan kumpulan Salafi yang tegar.
Golongan Kristian dan liberal memboikot proses itu bagi membantah perubahan yang diusul dalam perlembagaan baru, yang menurut mereka melemahkan hak asasi manusia, terutama bagi kaum wanita.
Menurut kumpulan Persaudaraan Islam, 32 peratus pengundi layak keluar membuang undi dalam kedua- dua pusingan pungutan suara.
Semalam tajuk utama berita akhbar-akhbar Mesir menggambarkan perpecahan di negara itu.
Sedang ada menjangka Mesir menuju ke arah keadaan lebih stabil, sesetengah rakyat Mesir berpendapat ia sebagai satu pencabulan. - AFP.







100 Terbunuh Serangan Udara di Halfaya ,Syria







DAMSYIK: Lebih 100 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan udara ke atas sebuah kedai roti di Halfaya, kawasan luar bandar di barat Syria, petang kelmarin.
Mangsa yang terbunuh terdiri daripada orang ramai yang beratur untuk mendapatkan bekalan roti, menurut aktivis pembangkang.
Angka kematian mungkin meningkat memandangkan ramai mangsa masih dirawat di hospital, dengan 50 daripada mereka dilaporkan dalam keadaan serius.
Menurut aktivis yang menyaksikan pengebumian, sehingga 109 orang disahkan terbunuh dalam serangan udara itu, yang dipercayai dilancarkan oleh anggota tentera pemerintah.
Seorang saksi, Hassan Al-Rajb, berkata 69 mayat telah dikenal pasti dan dikebumikan manakala 15 lagi belum diketahui identiti.
Kedai roti di kawasan kejadian kembali beroperasi kelmarin selepas bekalan kehabisan sejak seminggu lalu dan hanya memperoleh bekalan baru pada Sabtu lalu.
"Apabila saya tiba di tempat kejadian, saya nampak longgokan mayat di merata tempat. Ada mayat wanita dan kanak-kanak. Terdapat juga berdozen mangsa yang cedera," kata seorang aktivis,  Samer Al-Hamawi.
Menurut Hamawi, lebih 1,000 orang sedang beratur di kedai roti itu apabila serangan berlaku.
"Kami tidak mendapat bekalan tepung sejak tiga hari lalu, jadi semua orang telah ke kedai roti hari ini (kelmarin), dan ramai daripada mereka ialah wanita dan kanak-kanak.
"Saya masih belum dapat pastikan apakah anggota keluarga saya sendiri antara mangsa yang terkorban," tambah Hamawi.
Lebih 44,000 orang telah terkorban sejak pemberontakan menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad tercetus 21 bulan lalu.
Sementara itu, duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi, semalam dijadualkan bertemu Assad bagi menyambung semula rundingan berkaitan usaha antarabangsa menamatkan konflik di negara itu.
Sebelum ini, pemimpin negara Barat dan Arab telah berulang kali menggesa Assad supaya meletak jawatan.
Namun, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, berkata Assad masih berkeras mahu kekal berkuasa dan enggan menerima suaka di Russia.
Dalam satu wawancara dengan saluran televisyen setempat Russia bulan lalu, Assad berkata:
"Syria merupakan benteng terakhir stabiliti dan sekularisme di rantau ini. Saya perlu kekal dan mati di Syria." - AFP, AP, Reuters.

Thursday, 20 December 2012

Mubarak Kembali Ke Penjara




KAHERAH: Bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Hosni Mubarak, telah kembali ke penjara kelmarin setelah beliau dipindahkan ke hospital tentera buat seketika untuk menjalani imbasan X-ray kepalanya, kata pegawai keselamatan.
Selama beberapa bulan terdapat laporan bercanggah tentang kesihatan Mubarak, 84 tahun, yang pada Jun lalu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan gagal menghalang pembunuhan beratus penunjuk perasaan semasa pemberontakan tahun lalu.
Beliau merupakan presiden negara Arab pertama menjalani hukuman penjara.
Jeneral Mohammed Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri, berkata Mubarak dihantar semula ke penjara setelah menjalani imbasan X-ray.
Mubarak terjatuh ketika dalam bilik air penjara dan cedera di kepala serta dadanya sebelum dibawa ke hospital tentera di Maadi.
Keluarga dan peguam Mubarak merayu kepada pihak berkuasa agar membiarkan beliau kekal di hospital dengan alasan betapa teruknya kemudahan di penjara.
Sejak digulingkan, penyokong Encik Mubarak telah menyebarkan butiran tentang kesihatan beliau yang semakin teruk.
Menurut para pengkritik, ia adalah usaha mendapatkan simpati daripada orang ramai dan untuk merayu kepada mahkamah agar beliau diberi keringanan. - AP.

PBB Desak Israel Henti Bina Penempatan Baru



NEW YORK: Setiausaha Agung PBB ,Ban Ki-moon, dan semua anggota Majlis Keselamatan , kecuali Amerika Syarikat, telah mengkritik Israel dan menuntut agar kerja-kerja pembinaan kawasan petempatan baru dihentikan.
Wakil 14 negara anggota majlis itu berucap di luar dewan, setelah talimat bulanan mengenai isu Timur Tengah berakhir, mengutuk rancangan penempatan Israel, yang menurut mereka mengancam rancangan penyelesaian dua negara dengan Palestin.
Langkah itu jelas bertujuan meningkatkan tekanan terhadap Israel.
Secara berasingan, Ban Ki-Moon memberitahu wartawan bahawa aktiviti membina penempatan yang semakin rancak oleh Israel "secara serius mengancam usaha menubuhkan negara Palestin yang berdaya maju".
"Saya menggesa Israel agar menahan diri daripada terus bergerak di landasan yang berbahaya ini.
"Proses damai Timur Tengah kini beku. Kedudukan kededua pihak sangat berbeza dan huraian dua negara semakin sukar dicapai ," katanya.
Rundingan damai hasil perjanjian Oslo telah dibekukan selama empat tahun, sebahagian besarnya kerana isu pembinaan petempatan baru.
Palestin tidak mahu berunding dengan Israel sedang negara itu terus meluaskan petempatannya, yang kini menjadi tempat tinggal kepada lebih 500,000 warga Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan rancangan membina beribu-ribu rumah  di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, kawasan yang diharapkan warga Palestin menjadi ibu kota negara mereka.
Beliau berbuat demikian sebagai membalas keputusan Perhimpunan Agung PBB menaikkan status Palestin kepada sebuah negara pemerhati bukan anggota.
Israel menentang pengiktirafan Palestin oleh PBB sebagai sebuah negara, dengan berkata bahawa ia memintas proses rundingan damai. - AP.