Friday, 20 December 2013

Aktivis Saudi Dipenjara 4 Tahun Dan Sebat 300


RIYADH - ARAB SAUDI. Mahkamah di Arab Saudi menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan 300 sebatan terhadap seorang aktivis selepas didapati bersalah kerana menuntut demokrasi di negara itu, menurut Persatuan Hak Asasi Awam dan Politik (ACPRA).

Jurucakap ACPRA memberitahu bahawa Omar al-Saeed yang tidak diwakili peguam ketika dibicarakan adalah ahli keempat persatuan itu yang dihukum penjara pada tahun ini.

Sementara itu, laporan dipetik dari Reuters, Pemerhati Hak Asasi Manusia di Timur Tengah, Adam Coogle menyifatkan ia sebagai satu lagi contoh keangkuhan pihak berkuasa Saudi.

"Mereka seperti tidak boleh menerima sebarang kritikan terhadap dasar negara atau pencabulan hak asasi manusia di negara tersebut," katanya.

Boikot Israel




WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Kira-kira dua pertiga daripada 1,252 ahli akademik Persatuan Pengajian Amerika Syarikat (Asa), kelmarin sebulat suara menyokong resolusi memboikot Israel.

"Semasa perbincangan terbuka baru-baru ini, beberapa ahli meminta kami menggubal draf resolusi yang bertujuan untuk 'menghukum' Israel kerana melakukan penindasan berterusan ke atas penduduk Palestin," jelas jurucakap Asa.

Kempen itu juga bertujuan untuk memutuskan hubungan dan kerjasama dengan semua institusi pengajian di Israel yang telah dijalinkan sejak sedekad lalu.

Difahamkan, dipetik dari AFP, persatuan terbesar yang melakukan penyelidikan ke atas sejarah dan adat kebudayaan AS itu turut melancarkan kempen secara dalam talian bagi meraih sokongan masyarakat.

Mei lalu, ahli kosmologi Britain, Stephen Hawking menarik diri daripada sebuah persidangan berprestij di Israel sebagai protes terhadap pendudukan rejim Zionis di Tebing Barat.

Kerajaan Perpaduan Hamas-Fatah




Hamas dilaporkan bersetuju menyertai kerajaan perpaduan dengan Fatah.

Agensi berita Ma’an melaporkan, Hamas secara rasmi memaklumkan perkara itu kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas.


“Pemimpin Hamas, Khalid Mashaal dan Perdana Menteri Ismail Haniyeh menghubungi Mahmoud untuk membincangkan hal itu,” memetik laporan tersebut kepada PIC.
 

Tuduhan Baru Untuk Mursi




KAHERAH - MESIR. Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi bakal dibicarakan atas beberapa pertuduhan baharu termasuk bersubahat dengan pergerakan asing bagi melakukan keganasan.

Al Jazeera melaporkan, pertuduhan yang diumumkan pendakwa raya kanan semalam, berpotensi membawa hukuman mati.


"Perbicaraan tersebut turut membabitkan dua orang pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin dan 32 defendan lain.


"Mereka didakwa membocorkan rahsia pihak tentera kepada negara luar," menurut laporan itu kepada Al Jazeera.


Dalam satu kenyataan, pendakwa raya berkata, Ikhwanul Muslimin dituduh melakukan keganasan di Mesir serta menyediakan pelan yang membabitkan pergerakan Hamas di Genting Gaza dan pergerakan Hezbollah di Lubnan.


Hamas bagaimanapun mengutuk tuduhan berkenaan yang disifatkan sebagai satu lagi usaha mengaitkannya dalam hal ehwal dalaman Mesir dan bertujuan memburukkan nama pergerakan itu kepada penyokong rakyat Palestin terutamanya Gaza.


Mursi kini masih berdepan dengan perbicaraan atas pertuduhan menghasut keganasan ketika tunjuk perasaan di perkarangan Istana Presiden setahun lalu ketika menjawat jawatan Presiden.

 

Tuesday, 17 September 2013

Bukti Senjata Kimia Di Syria



NEW YORK: Pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menemui bukti jelas dan meyakinkan bahawa roket membawa gas saraf digunakan dalam serangan senjata kimia di luar Damsyik pada 21 Ogos lalu.
Pengesahan itu terkandung dalam laporan yang dibentangkan kepada Majlis Keselamatan PBB kelmarin.
"Sampel sekitaran, bahan kimia dan perubatan yang kami kumpul menunjukkan bukti jelas dan meyakinkan bahawa roket yang membawa gas saraf sarin telah digunakan," kata laporan itu.
Ketika ditemui wartawan selepas memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, berkata: "Ini satu jenayah perang... dan penggunaan senjata pemusnah raya terburuk dalam abad ke21."
Beliau berkata laporan itu turut mendedahkan bagaimana doktor merawat orang awam yang kelihatan tidak mempunyai sebarang kesan cedera di jalan-jalan raya Ghouta beberapa jam selepas serangan itu.
Laporan tersebut tidak pula mempunyai mandat untuk menyatakan sama ada serangan kimia itu dilancarkan pemerintah Syria atau golongan pemberontak.
Bagaimanapun, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius, berkata bukti yang dibentangkan merinyu PBB, termasuk butiran trajektori roket yang digunakan, memberi gambaran jelas bahawa pemerintah bertanggungjawab atas serangan yang mengorbankan sekitar 1,400 orang itu.
Duta Amerika Syarikat ke PBB, Samantha Power, ketika ditemui wartawan selepas taklimat Majlis Keselamatan kelmarin, berkata "butiran teknikal laporan PBB itu jelas membayangkan bahawa hanya rejim (pemerintah Syria) yang mampu melancarkan serangan senjata kimia sebesar itu".
Power berkata salah satu senjata yang digunakan dalam serangan itu, iaitu roket 122mm, telah digunakan askar pemerintah dalam serangan lain sebelum ini.
Menurutnya, Amerika tidak mempunyai bukti bahawa pemberontak Syria telah menghasilkan atau menggunakan roket serupa itu. - AP, AFP.


Sunday, 15 September 2013

Bantahan Miss World Berterusan





JAKARTA: Kumpulan tegar Islam di Indonesia kembali melakukan bantahan di ibu kota negara itu dan dua lagi bandar bagi menentang peraduan ratu cantik Miss World yang diadakan di pulau peranginan, Bali.
Beratus-ratus anggota Barisan Pertahanan Islam dan Forum Persatuan Islamik mengadakan perhimpunan lewat kelmarin di Jakarta.
Mereka mengibarkan sepanduk dengan slogan "Tolak Miss World" dan "Miss World ke Neraka".
Bantahan serupa turut diadakan di bandar-bandar Jawa Timur, Jember dan Banyuwangi, di mana polis menghalang para penunjuk perasaan daripada meneruskan perjalanan ke Bali.
Peraduan ratu cantik Miss World yang ke-63 dimulakan di Bali Ahad lalu setelah penunjuk perasaan mengadakan bantahan selama berhari-hari.
Sedang pertandingan Miss World berlangsung di Bali, satu lagi pertandingan turut diadakan di Indonesia tetapi pertandingan itu dikhususkan untuk golongan Muslimah.
Pertandingan Dunia Muslimah itu akan diadakan di Jakarta lusa dan merupakan "jawapan Islam kepada (pertandingan) Miss World", kata pengasas pertandingan itu, Eka Shanti, kelmarin.
"Dunia Muslimah adalah pertandingan kecantikan tetapi keperluannya berbeza daripada Miss World - anda harus warak, menjadi contoh positif dan menunjukkan bagaimana anda mengimbangi kerohanian dalam dunia moden hari ini," jelas Shanti.
Seramai 20 peserta akhir pertandingan Dunia Muslimah telah dipilih daripada lebih 500 peserta.
Peserta akhir dari Iran, Malaysia, Brunei, Bangladesh, Nigeria dan Indonesia akan memperagakan fesyen Islamik dalam apa yang dikatakan Shanti sebagai peluang menunjukkan wanita Islam muda bahawa mereka tidak perlu menunjukkan bahagian "kurang sopan" seperti rambut dan bahu untuk kelihatan cantik. - AP, AFP.

Tujuh Hari Untuk Assad





GENEVA: Pengiraan detik akhir telah bermula bagi misi sukar dan berbahaya untuk menghapuskan senjata kimia Syria, dengan pemerintah negara itu diberikan tempoh hanya tujuh hari untuk mendedahkan simpanan rahsia senjata kimianya dan membenarkan pasukan merinyu ke negara yang bergolak akibat perang.
Dalam usaha diplomatik mendadak dan tanpa henti di Geneva, Amerika Syarikat dan Russia membincangkan rangka kerja penting bagi membuka dan menghapuskan salah satu simpanan senjata kimia paling besar di dunia.
Menjelang Jumaat ini, Presiden Syria, Bashar al-Assad, berhadapan ujian pertamanya bagi membuktikan kesungguhan pentadbirannya dalam komitmen mereka meletakkan senjata kimia Syria di bawah kawalan antarabangsa.
Perjanjian yang diusahakan di Geneva harus diberikan kepada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia untuk dipersetujui, tetapi dalam masa tujuh hari Assad mesti memberikan pengisytiharan penuh tentang sejauh mana program rahsia beliau.
Amerika percaya Syria mempunyai sekitar 45 tapak yang mempunyai kaitan dengan program senjata kimia, daripada jumlah itu hampir separuh mengandungi "agen kimia yang boleh dieksploitasi" untuk dicampurkan dengan gas toksik.
Persoalan masih ada tentang sama ada Amerika dan Russia boleh mencapai matlamat mereka mengalihkan dan menghapuskan sekitar 1,000 tan metrik bahan kimia menjelang pertengahan tahun depan tetapi pakar Amerika yang menghadiri rundingan tiga hari dengan Russia, bertegas ia boleh dilakukan.
"Ia sangat, sangat, sukar tetapi ia boleh dilakukan," kata seorang pegawai pentadbir Amerika, sementara seorang lagi menyifatkan jadual itu sebagai "bercita-cita tinggi".
Syria kini di tengah-tengah perang saudara yang telah meragut sekitar 110,000 jiwa sejak Mac tahun lalu.
Pegawai Amerika berkata bahawa walaupun keadaan huru-hara di Syria, rejim Assad telah mengawal ketat simpanan senjata kimia dan mereka menjangka mudah untuk ke kawasan yang dikuasai pemerintah Syria.
Sementara itu, pihak pembangkang Syria semalam menuntut agar masyarakat antarabangsa melarang rejim Damsyik menggunakan kuasa tentera udara di kawasan bandar, selain melarang penggunaan senjata kimia.
"Perikatan Kebangsaan Syria (SNC) bertegas larangan menggunakan senjata kimia, yang telah menyebabkan kematian lebih 1,400 orang awam, dilanjutkan kepada penggunaan misil balistik dan pesawat di kawasan bandar," SNC dalam satu kenyataan. - AFP, Reuters.

Quebec:Tiada Agama Ditempat awam





MONTREAL: Beribu-ribu penduduk, kebanyakannya beragama Islam, membanjiri jalan raya di Montreal kelmarin sebagai melahirkan rasa marah terhadap rancangan melarang pekerja awam memakai sebarang pakaian bersifat keagamaan di Quebec.
Larangan memakai tudung, serban atau sebarang pakaian yang melambangkan agama merupakan sebahagian daripada usul menggubal Piagam Nilai (Charter of Values) wilayah itu.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan, "Tidak kepada piagam" sambil mengulangi kata-kata, "Quebec bukan Perancis". Ini rujukan kepada undang-undang serupa di Perancis yang telah berkuatkuasa lebih dua tahun lalu.
Usul tersebut akan dibawa ke parlimen tidak lama lagi dan telah mencetuskan perdebatan hangat sejak butirannya didedahkan kepada media beberapa minggu lalu.
Jika diluluskan, pekerja sektor awam akan dilarang memakai "simbol keagamaan yang ketara", termasuk tudung, yarmulka (tutup kepala kecil yang dipakai oleh lelaki Yahudi), sarban dan salib yang besar ke tempat kerja.
Usul itu juga memerlukan pengguna perkhidmatan awam "mendedahkan muka mereka sepenuhnya" - langkah yang disasarkan untuk melarang pemakaian niqab oleh sesetengah wanita Islam.
Namun, ia membenarkan pekerja awam memakai barang kemas bersifat keagamaan asalkan ia "tidak begitu ketara".
Menteri Quebec yang bertanggungjawab , Bernard Drainville, baru-baru ini berkata bahawa menghapuskan pemakaian pakaian bersifat keagamaan oleh pekerja awam akan membantu meningkatkan semangat perpaduan di kalangan penduduk Quebec.
"Cara terbaik menghormati semua penduduk Quebec, semua kepercayaan dan semua agama, adalah untuk wilayah ini tidak mempunyai agama," kata Drainville.
Tetapi pengecualian diberi kepada salib yang telah menghiasi dewan utama Perhimpunan Kebangsaan sejak 1936, katanya.
Beliau mengesahkan, salib itu akan kekal di tempatnya sebagai menghormati "warisan budaya" wilayah itu.
Usul tersebut telah mencetuskan kritikan keras.
Ahli politik federal seperti Menteri Pekerjaan, Pembangunan Sosial dan Berbilang Budaya, Jason Kennedy berkata usul itu akan "mengehadkan keupayaan rakyat Canada untuk mengambil bahagian dalam masyarakat kita, dan akan menjejas pengamalan kepercayaan mereka." - AFP.

100 Anggota MNLF Tumpas



ZAMBOANGA: Pihak berkuasa Filipina berkata hampir 100 anggota gerila Islam, yang menahan berpuluh orang sebagai tebusan selama seminggu di selatan negara itu, telah dibunuh atau ditangkap dalam usaha pemerintah menawan semula kawasan pantai yang dikuasai pemberontak.
Setiausaha Dalam Negeri Filipina, Mar Roxas, dan pegawai lain berkata pasukan pemerintah meneruskan serangan semalam tetapi cuba mengelakkan daripada mencederakan tebusan yang tidak dapat dipastikan jumlahnya yang masih ditahan pemberontak Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).
Kumpulan pemberontak MNLF menahan tebusan di kawasan pantai luar bandar Zamboanga.
Menurut pihak berkuasa sekurang-kurangnya 51 pemberontak telah dibunuh dan 42 yang lain ditangkap.
Seramai enam polis dan anggota tentera, bersama empat orang penduduk kampung, juga turut terbunuh.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala, berkata pasukan keselamatan pemerintah telah berjaya menawan semula kawasan yang dikuasai pemberontak sebelum ini.
Katanya, pasukan keselamatan pemerintah masih bertempur dalam usahanya untuk cuba menawan kawasan-kawasan lain yang masih dikuasai lebih 100 anggota pemberontak.
Serangan itu menarik perhatian kepada kerumitan mengakhiri konflik di sepertiga selatan Filipina yang menjadi tempat persembunyian beberapa kumpulan pemberontak Islam bersenjata dan masalah bertambahnya senjata api tidak berlesen.
Lapangan terbang dan pelabuhan di kawasan itu masih ditutup semalam akibat krisis yang telah melumpuhkan bandar dengan sejuta penduduk itu.
Pertempuran telah menyebabkan beberapa kejiranan musnah dijilat api dan memaksa berpuluh ribu penduduk melarikan diri. - AP, AFP.


Tuesday, 19 March 2013

Ghassan Hitto Ketuai Kerajaan Sementara Syria





ISTANBUL: Perikatan pembangkang Syria awal semalam memilih seorang aktivis Islam dan pengurus teknologi maklumat (IT) yang berpendidikan di Amerika Syarikat untuk memimpin pemerintah sementara bagi mentadbir kawasan yang berjaya dirampas pasukan pemberontak daripada tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Ghassan Hitto menerima 35 undi daripada 48 undi yang dibuang oleh 63 anggota aktif Perikatan Kebangsaan Syria (SNC) semasa mesyuarat di Istanbul.
Keputusan undian telah dibacakan oleh anggota perikatan, Hisham Marwa, dan ia disambut tepukan gemuruh anggota Perikatan Kebangsaan Syria (SNC)yang telah menunggu sehingga jam 1 pagi (waktu tempatan) untuk mendengar keputusan tersebut.
"Saya rindukan isteri dan anak-anak serta menanti untuk bertemu mereka tidak lama lagi," kata Hitto, yang telah berdekad-dekad tinggal di Amerika dan baru-baru ini berpindah ke Turki dari Texas untuk membantu menyelaras bantuan ke kawasan-kawasan yang kini dikuasai pemberontak.
Ketika ditanya apakah keutamaan pertama pemerintah sementaranya, Hitto berkata beliau merancang untuk menyampaikan ucapan lewat semalam bagi menggariskan rancangannya.
Anggota SNC, perikatan pembangkang utama Syria, berharap pemerintah baru itu akan menyatukan pemberontak yang kini menentang askar Assad dan menyediakan perkhidmatan kepada warga Syria yang tinggal di kawasan yang dikuasai pemberontak.
Kebanyakan kawasan itu dalam keadaan teruk akibat perang saudara Syria dan kini mengalami masalah kekurangan makanan, bekalan elektrik dan khidmat perubatan.
Sedang pihak pemberontak mara di utara dan timur Syria, beberapa kumpulan campuran pemberontak telah cuba mengisi kekosongan akibat pengunduran pemerintah Syria dengan mengaturkan rondaan keselamatan, membuka semula kedai roti dan mengendalikan mahkamah serta penjara.
Tidak dapat dipastikan jika kumpulan-kumpulan itu, yang kebanyakannya mengambil alih pentadbiran bandar mereka sendiri, akan menerima kuasa luar, terutama kumpulan yang dipimpin seorang warga Syria yang telah berdekad-dekad berada di luar negara.
Pemilihan Hitto menyusuli dua percubaan yang gagal untuk membentuk pemerintah sementara akibat perbalahan di kalangan pihak pembangkang.
Jika sebelum ini anggota SNC mengatakan mereka kurang mendapat sokongan an tarabangsa untuk membolehkan mereka menonjolkan kekuasaan mereka kepada kumpulan-kumpulan di Syria, pemerintah sementara baru ini juga dijangka menghadapi masalah sama.
Pemerintah sementara itu dijangka menghadapi cabaran besar, bermula dengan keupayaannya mendapatkan pengiktirafan daripada puak pemberontak lain di tanah air.
Menurut Adib Shishakly, wakil SNC ke negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GNC), pemerintah sementara itu perlu mencari jalan untuk bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan pemberontak yang lain.
"Anda hanya boleh memerintah dengan menyediakan perkhidmatan, (dan ia) memerlukan dana," katanya.
Pembentukan pemerintah sementara oleh SNC menjadikan peluang mengakhiri peperangan melalui rundingan dengan rejim Encik Assad semakin tipis, huraian yang lebih disukai Amerika dan negara kuasa dunia lain.
Sebaliknya, Amerika menyokong pelan damai yang diusulkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, yang menyeru agar pemerintah sementara dibentuk dengan wakil kedua-dua pihak pembangkang dan rejim Assad. - AP

Friday, 18 January 2013

Letupan Di Universiti Aleppo Korbankan 87 Orang




DAMSYIK: Dua letupan memusnahkan bangunan Universiti Aleppo kelmarin dan membunuh sekurang-kurangnya 87 orang serta mencederakan puluhan yang lain, pada hari pertama pelajar universiti itu menghadapi peperiksaan.
Pasukan tentera yang menyokong rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad, dan pihak pemberontak saling menyalahkan satu sama lain atas kejadian yang berlaku di medan pertempuran yang dikawal pemerintah di bandar utara negara itu.
"Sejauh ini terdapat 82 kematian dan lebih 160 mangsa yang cedera dalam serangan pengganas yang disasarkan terhadap para pelajar yang melalui hari pertama peperiksaan di Universiti Aleppo," kata Gabenor Mohammed Wahid Akkad.
Sedang aktivis pemberontak menuduh bahawa jet pejuang pemerintah telah melakukan serangan dari udara, seorang pegawai tentera pula mengatakan bahawa misil-misil darat ke udara yang dilancarkan pihak pemberontak dan tidak mengena sasaran menjadi punca kejadian.
Saluran televisyen rasmi Syria melaporkan bahawa pengganas melancarkan dua roket ke arah kampus.
Agensi berita rasmi Syria, Sana, menyatakan bahawa ia merupakan hari pertama peperiksaan dan para pelajar serta mereka yang berlindung di universiti itu merupakan antara mereka yang menjadi mangsa kejadian.
Selain pelajar, bangunan kampus universiti itu menempatkan sekitar 30,000 penduduk Syria yang melarikan diri daripada beberapa bahagian bandar itu yang musnah akibat pertempuran sejak pihak pemberontak menguasai banyak kejiranan bermula Julai lalu.
Rakaman video yang dimuat naik ke Internet oleh para pelajar universiti itu menunjukkan tangisan mereka yang terselamat berlari mencari perlindungan dalam bagunan kampus.
Letupan itu terkena kawasan dekat asrama universiti dan bangunan fakulti seni bina, menurut kumpulan pemantau hak asasi manusia, Syrian Observatory for Human Rights, yang berpangkalan di Britain.
Menurut kumpulan itu, terdapat laporan bercanggah mengenai serangan dari udara dan dua letupan di bumi.
Keganasan terbaru itu berlaku sedang Russia menolak usaha yang dipimpin Switzerland di Majlis Keselamatan PBB bagi mendapatkan tokoh utama dalam rejim Assad untuk dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), sebagai tidak produktif.
Hanya Majlis Keselamatan mempunyai hak merujuk kes Syria ke mahkamah di The Hague itu kerana Syria bukanlah anggota ICC.
Kelmarin, Russia mengatakan rujukan kepada ICC bagi membicarakan tokoh utama Syria atas tuduhan jenayah perang boleh memburukkan krisis. - AFP.



Rohingya Lari ke Thailand




BANGKOK: Lebih daripada 130 pelarian Rohingya tiba di Thailand dalam masa kurang 24 jam, kata seorang pegawai tempatan semalam, sedang kerajaan negara itu bergelut dengan masalah ketibaan anggota kumpulan minoriti Myanmar itu.
Sekitar 88 pelarian Rohingya mendarat di pulau Phra Thong di selatan Thailand, kelmarin dan pendaratan mereka dirakam dengan jelas oleh stesen televisyen, kata ketua daerah Kuraburi,Manit Pienthong.
Menurutnya lagi, semalam pula 48 orang yang mengaku mereka bangsa Rohingya mendarat di pulau Andaman.
Tambahnya, mereka telah dihantar kepada pegawai imigresen di ibu kota daerah Phangnga bagi memulakan proses menghantar mereka kembali ke Myanmar.
Sepanjang minggu lalu, ratusan pendatang Myanmar diberkas polis dalam serbuan di ladang getah terpencil dekat sempadan Malaysia, menyebabkan Suruhanjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR) berusaha mengesahkan sama ada pelarian itu cuba dapatkan suaka.
Kelmarin, agensi PBB itu menyatakan pihaknya telah menerima keizinan Thailand bagi meninjau sekitar 850 orang, yang dipercayai bangsa Rohingya dan ditahan setelah serbuan ke kawasan perkhemahan di selatan Thailand.
Ribuan bangsa Rohingya telah melarikan diri dan menuju ke Thailand dan negara lain, setelah berlaku keganasan antara kaum di wilayah barat Myanmar, Rakhine.
Ramai melarikan diri dengan bot kecil yang dibiar hanyut ke selatan hingga tiba ke pantai Thailand.
Kumpulan hak asasi telah mengkritik Thailand kerana gagal membantu pelarian Rohingya itu.
Sebaliknya, Thailand menghantar mereka kembali ke Myanmar atau ke negara jiran seperti Malaysia, yang menawarkan perlindungan bagi anggota kumpulan minoriti itu. - AFP.


Jabatan Anti-Rasuah Pakistan Enggan Tangkap Perdana Menteri




ISLAMABAD: Ketua jabatan antirasuah pemerintah Pakistan semalam menolak perintah Mahkamah Agung agar memberkas Perdana Menteri, Raja Pervez Ashraf, lapor saluran televisyen negara itu.
Tindakan Fasih Bokhari, ketua Biro Kebertanggungjawaban Kebangsaan, itu memberikan sedikit kelegaan kepada pemerintah Pakistan yang kini dicengkam pergolakan politik.
Pada Selasa lalu, Mahkamah Agung memerintahkan agar Ashraf diberkas berhubung tindakannya mengambil rasuah ketika beliau menjawat Menteri Tenaga.
Bagaimanapun, Bokhari berkata bahawa siasatan terhadap Ashraf tidak lengkap.
Mahkamah telah mengarahkan Bokhari menyerahkan rekod kes itu supaya ia dapat menentukan sama ada terdapat cukup bukti bagi mendakwa perdana menteri dan para pegawai lain yang terlibat dalam kes itu.
Pemerintah Pakistan kini menerima tekanan daripada ulama negara itu, Muhammad Tahirul Qadri, yang telah mengapi-apikan ribuan penunjuk perasaan yang berkhemah di luar parlimen dengan gesaannya agar pemimpin politik negara itu meletak jawatan dan pembaharuan politik dilaksanakan.
Qadri, yang menyokong rampasan kuasa tentera pada 1999, kini menggesa agar pemerintah meletak jawatan serta-merta dan pentadbiran sementara dilantik menjelang pilihan raya akan datang yang dijangka berlangsung pada musim bunga ini.
Kehadirannya di barisan hadapan politik Pakistan telah menimbulkan spekulasi bahawa pihak tentera, secara diam-diam, menyokong kempen Qadri dalam usaha memberi lebih banyak tekanan terhadap pemerintah yang dilihat tidak telus dan tidak cekap.
Qadri dan tentera telah menafikan spekulasi itu.
Pihak tentera telah memerintah Pakistan selama lebih separuh daripada tempoh 65 tahun sejak negara itu merdeka.
Ketua tentera kini, Jeneral Ashfaq Kayani, telah berikrar akan memastikan pihak tentera tidak campur tangan dalam politik negara itu. - Reuters.


Monday, 14 January 2013

Rakyat Palestin Di Tebing Barat Diusir








BAITULMAqDIS: Penunjuk perasaan warga Palestin yang mendirikan khemah di satu tapak di Tebing Barat yang strategik bagi membantah rancangan membina projek perumahan Yahudi baru telah diusir polis, semalam.
Jurucakap polis, Micky Rosenfeld, berkata polis mengusir sekitar 100 penunjuk perasaan dari tapak itu setelah mahkamah membuat keputusan memberikan kuasa agar mereka diusir.
Katanya, tiada tangkapan dibuat semasa operasi setengah jam itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, malam kelmarin memerintahkan agar semua jalan menuju ke kawasan itu ditutup dan meminta pihak tentera mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon tertutup tentera dan tidak membenarkan sesiapa memasukinya.
Para aktivis Palestin mendirikan khemah di kawasan yang dikenali sebagai E-1 pada Jumaat lalu dan berkata mereka mahu "mengesahkan fakta di tapak itu" demi menghalang Israel meneruskan pembinaan di Tebing Barat.
Rosenfeld berkata khemah-khemah itu tidak dirobohkan dan keputusan tentang apa yang akan dilakukan dengan khemahkhemah itu akan dibuat kemudian.
Para aktivis itu 'meminjam' frasa dan muslihat yang sering dikaitkan dengan peneroka Israel, yang percaya tindakan mewujudkan penempatan penduduk di sesuatu kawasan bermakna kawasan itu kekal milik Israel.
Mereka berkata bahawa mereka mahu mendirikan perkampungan di tapak itu, yang mereka panggil Bab Al Shams.
Netanyahu malam kelmarin menyatakan negara itu sedang mengemukakan petisyen Mahkamah Tinggi bagi membatalkan injuksi awal yang menghalang pengusiran itu.
Rosenfeld, beliau tidak pasti mahkamah mana yang membenarkan pengusiran itu.
Israel telah mengumumkan ia akan mempercepatkan rancangan pembinaan petempatan di kawasan E-1 setelah Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf status Palestin sebagai sebuah negara pada November lalu.
Rakyat Palestin berkata kawasan perumahan di E-1 merupakan tamparan besar kepada aspirasi mereka membina sebuah negara kerana kawasan itu berada di antara Baitulmaqdis Timur dengan Tebing Barat.
Rancangan pembinaan itu menerima kritikan hebat daripada beberapa sekutu kuat Israel termasuk Amerika Syarikat yang menentang keras projek E-1 itu.
Para pegawai Israel mengatakan pembinaan sebenar projek itu mungkin hanya berlaku beberapa tahun dari sekarang.
Sementara itu, pengkritik Israel pula mempersoalkan sama ada Netanyahu benar-benar ingin membangunkan projek E-1 ataupun sekadar ingin menyenangkan hati golongan berpendirian tegar menjelang pilihan raya Israel yang akan berlangsung pada 22 Januari ini. - AP.

Ketua Menteri Baluchistan Dipecat



QUETTA (Pakistan): Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf, semalam mengumumkan pemecatan Ketua Menteri Baluchistan, Aslam Raisani, ekoran kejadian dua letupan bom yang mengorbankan ratusan penganut fahaman Syiah, minggu lalu.
Ketika kejadian itu Aslam dikatakan di London mendapatkan rawatan kesihatan.
Pemecatan itu diambil selepas ahli keluarga mangsa enggan mengebumikan mereka kerana membantah tiada perlindungan pemerintah pusat dan wilayah ke atas penganut fahaman Syiah di wilayah bergolak itu.
Dalam kejadian Khamis lalu, pengebom nekad telah meletupkan dirinya di pusat snuker membunuh 92 orang.
Lebih kurang 120 orang lagi disahkan cedera dalam kejadian itu yang didakwa dilakukan oleh militan Sunni.
Penganut Syiah di Pakistan sebahagian besarnya adalah etnik Hazara.
Encik Ashraf melakukan kunjungan segera ke sini kelmarin bertemu keluarga mangsa dan pemimpin etnik Hazara.
Beliau kemudian bersetuju menerima hampir kesemua tuntutan puak Hazara dan Syiah, termasuk memecat ketua menteri dan pemerintah negeri Baluchistan itu.
Beliau juga bersetuju meletakkan Baluchistan di bawah undang-undang darurat selama dua bulan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan kawalan keselamatan yang lebih ketat. - AFP, Reuters


Perancis Serang Mali








BAMAKOL: Jet pejuang Perancis telah melancarkan serangan udara ke atas kawasan utara Mali yang menjadi kubu kumpulan pemberontak, yang dikaitkan dengan rangkaian pengganasan Al-Qaeda.
Serangan kelmarin menyasarkan pangkalan kumpulan pemberontak di Gao, yang merupakan bandar utama di utara Mali.
Jet pejuang Rafale itu turut menyerang lokasi simpanan peluru dan minyak kumpulan pemberontak di utara Afhabo, yang terletak 50 kilometer dari Kidal.
Kawasan itu merupakan kubu kumpulan pemberontak Ansar Dine.
Turut diserang ialah pangkalan pemberontak di kawasan timur di Lere, berdekatan sempadan Mauritania.
"Langkah menghentikan kemaraan para pengganas telah dapat dilaksanakan. Hari ini, kami akan mula menangani pangkalan pengganas di barisan belakang," kata Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius.
Ditanya berapa lama Perancis akan menerajui serangan itu, beliau berkata "bagi tempoh beberapa minggu."
Kelmarin, Algeria telah memberi keizinan kepada jet pejuang Perancis menggunakan ruang udaranya untuk tiba ke kawasan sasaran.
Sebelum ini, Algeria tidak menyokong sebarang campur tangan asing di Mali.
Perancis melancarkan operasi serangan itu bersama tentera Mali bagi Jumaat lalu bagi menyekat kemaraan kumpulan pemberontak yang mengancam mengambil alih kawalan di ibu kota Bamako.
Para penduduk Gao, yang sebelum ini dikawal oleh Gerakan bagi Kesatuan dan Jihad di Afrika Barat (Mujao), berkata serangan udara Perancis telah berjaya melumpuhkan kumpulan Islamis itu dan memaksa mereka melarikan diri.
"Kami melihat asap berkepul dari pangkalan mereka. Tiada seorang pun anggota kumpulan Islamis yang tinggal. Mereka semua sudah melarikan diri," kata seorang guru yang enggan namanya disiarkan.
Perancis telah diberi kebenaran oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membantu pemerintah Mali merampas semula kawalan di wilayah utara.
Campur tangan Perancis itu disokong oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat, sementera Britain menyediakan sokongan logistik. - AFP, AP, Reuters.


Saturday, 5 January 2013

Wanita Saudi Perjuang Hak Memandu






RIYADH: Aktivis wanita Arab Saudi yang pernah dipenjarakan kerana melanggar larangan memandu kereta, Manal al-Sharif, 33 tahun, berkata, masanya akan tiba bagi wanita di negara berkenaan mendapat hak untuk memandu.
Dalam ulasan yang dihantar kepada sebuah laman web antarabangsa, Manal berkata wanita Arab Saudi perlu terus memperjuangkan hak itu kerana kerajaan tidak akan memberinya dengan mudah.
"Persoalannya bukan sama ada wanita wajar diberi hak memandu di negara ini tetapi sama ada mereka sedia memperjuangkan hak untuk memandu kereta.
"Jawapan saya adalah ya, jadi terpulang kepada wanita untuk berusaha mendapatkan hak itu," kata pakar komputer di syarikat pengeluar minyak Aramco itu.
Sementara itu, dalam satu rencana yang disiarkan akhbar Alhayat, Manal berkata beliau kini menghadapi apa yang disifatkannya kempen permusuhan bersepadu di Arab Saudi.
"Saya pernah dituduh ejen Israel penganut Syiah yang bekerja untuk Iran," katanya.
Manal juga terkejut apabila mendapat tahu anak lelakinya dipukul rakan sekolah kerana dia "anak Manal al-Sharif".
Arab Saudi merupakan satu-satunya negara di dunia yang melarang wanita daripada memandu.
Sebelum ini, Manal telah menjadi simbol satu kempen membenarkan wanita memandu selepas beliau ditahan 10 hari sebelum dibebaskan pada Mei 2011.
Manal ditahan pihak berkuasa selepas memuat naik rakaman video yang menunjukkan beliau memandu keretanya sendiri di bandar timur Khobar.
Pada Jun 2011, para aktivis wanita melancarkan kempen 'Women2Drive' di rangkaian media sosial dan ramai daripada mereka turut melanggar larangan itu dengan menyiarkan video-video mereka sedang memandu. - Agensi.



Thursday, 3 January 2013

Majalah Perancis Terbitkan Biografi Karikatur Nabi Muhammad





PARIS: Sebuah majalah Perancis, yang pernah mencetuskan protes antarabangsa dan pejabat-pejabatnya diserang dengan bom selepas ia mencetak semula karikatur-karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad saw, semalam mendakwa ia telah menerbitkan sebuah biografi karikatur mengenai kisah hidup nabi.
Editor majalah mingguan Charlie Hebdo bertegas mengatakan bahawa buku 'Kisah Hidup Muhammad', dengan hiasan kulit yang menunjukkan seorang lelaki menarik seekor unta adalah satu usaha pendidikan yang disiapkan oleh seorang ahli sosiologi Perancis-Tunisia.
"Ia satu biografi yang dibenarkan Islam kerana ia diedit oleh orang Islam," kata Stephane Charbonnier, yang juga menjadi pelukis ilustrasi buku itu, yang dilengkapkan dengan nota-nota akademik.
"Saya tidak fikir golongan penganut Islam terpelajar akan mendapati ia sesuatu yang tidak wajar," kata Charbonnier, peneraju majalah yang telah berulang kali mencetuskan kemarahan masyarakat Islam dengan gambaran satiranya mengenai Nabi Muhammad.
Beliau berkata idea bagi buku komik itu tercetus pada 2006 apabila sebuah akhbar di Denmark menerbitkan karikatur-karikatur Nabi Muhammad, yang kemudian diterbitkan semula oleh Charlie Hebdo, sehingga mencetuskan kemarahan di seluruh dunia Islam.
Beliau berkata buku itu "halal", sambil merujuk secara berseloroh kepada syarat yang ditetapkan bagi produk daging sebelum ia dianggap sesuai untuk dimakan oleh orang Islam.
Walaupun Charbonnier berkeras bahawa buku itu berniat baik dan tidak menyakiti mana-mana pihak, gambaran visual Nabi Muhammad dalam buku tersebut boleh menimbulkan kemarahan masyarakat Islam.
Beberapa reaksi terbatas menyusuli penerbitan komik berharga enam euro itu mulai muncul dalam rangkaian media sosial, semalam.
Malah, seorang penasihat politik kanan kepada Perdana Menteri Turkey, Recep Tayyip Erdogan, turut mengutuk penerbitan buku itu dalam mesej Twitternya, sambil menekankan bahawa "menukar Rasul Islam itu menjadi satu watak karikatur dengan sendirinya adalah salah".
"Walau apapun yang dikatakan oleh kakitangan Charlie Hebdo, ini adalah satu provokasi. Nasihat saya kepada umat Islam: usah pedulikannya. Jangan beri mereka apa yang mereka mahu," tegasnya.
September lalu, Charlie Hebdo sengaja menerbitkan gambar karikatur Nabi Muhammad, sedang protes-protes diadakan menyusuli penyiaran filem, "Innocence of Muslims', yang dianggap menghina tokoh agung Islam itu. - AFP

Korban Di Syria Cecah 60,000




DAMSYIK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 60,000 orang telah terbunuh dalam konflik Syria yang masih berpanjangan - jauh lebih tinggi daripada anggaran awal sebelum ini.

Sebelum ini, Badan pemantau hak asasi kemanusiaan Syria berkata lebih 45,000 orang telah terkorban.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia di Geneva, Navi Pillay, berkata seramai 59,648 orang terbunuh sehingga hujung November lalu, iaitu dalam tempoh 21 bulan sejak konflik Syria tercetus Mac 2011 lalu.
"Disebabkan tiada tanda-tanda konflik ini akan berakhir, kini boleh anggarkan lebih 60,000 telah terbunuh," katanya dalam satu kenyataan.
"Jumlah nyawa yang terkorban adalah lebih tinggi daripada anggaran awal dan ia sememangnya mengejutkan," tambah beliau.

Beliau turut membidas pemerintah Syria kerana menyemarakkan lagi kemarahan rakyat dengan mengambil tindakan tegas apabila penduduk mengadakan bantahan awam.
Pillay turut menyalahkan pasukan pemberontak kerana menyebabkan kematian orang awam.
Tindakan kedua-dua pihak ini boleh disifatkan sebagai jenayah perang, kata Pillay.
Beliau turut menyalahkan negara kuasa dunia kerana gagal mencari jalan bagi menghentikan konflik di negara itu.
"Kegagalan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan, mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan pertumpahan darah ini memalukan kita semua," kata Pillay.
Sebelum ini, Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan negara Arab telah menuntut agar Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan.
Russia, China dan Iran membidas gesaan itu.
Dalam keganasan terbaru kelmarin, puluhan maut atau cedera dalam serangan udara terhadap sebuah stesen minyak di ibu negara itu.
Satu rakaman yang tersebar di Internet menunjukkan mangsa yang hangus terbakar, dengan seorang daripadanya masih di atas motosikal.
"Dia terbakar! Lelaki itu terbakar!," teriak suara seorang saksi dalam rakaman itu.
Badan hak asasi kemanusiaan berkata askar pemerintah tidak mengambil sebarang langkah bagi mengelakkan korban orang awam apabila mengebom kawasan yang dikawal oleh pasukan pemberontak.
"Saya jangka ada sekurang-kurangnya 30 mayat. Mereka sama ada hangus atau sudah berkecai," kata Abu Saeed, seorang aktivis yang tiba di tapak kejadian.
Sementara itu, keluarga seorang wartawan bebas Amerika, James Foley, mendedahkan beliau diculik di Syria enam minggu lalui. - AP, Reuters.