DAMSYIK: Dua letupan memusnahkan bangunan Universiti Aleppo kelmarin dan membunuh sekurang-kurangnya 87 orang serta mencederakan puluhan yang lain, pada hari pertama pelajar universiti itu menghadapi peperiksaan.
Pasukan tentera yang menyokong rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad, dan pihak pemberontak saling menyalahkan satu sama lain atas kejadian yang berlaku di medan pertempuran yang dikawal pemerintah di bandar utara negara itu.
"Sejauh ini terdapat 82 kematian dan lebih 160 mangsa yang cedera dalam serangan pengganas yang disasarkan terhadap para pelajar yang melalui hari pertama peperiksaan di Universiti Aleppo," kata Gabenor Mohammed Wahid Akkad.
Sedang aktivis pemberontak menuduh bahawa jet pejuang pemerintah telah melakukan serangan dari udara, seorang pegawai tentera pula mengatakan bahawa misil-misil darat ke udara yang dilancarkan pihak pemberontak dan tidak mengena sasaran menjadi punca kejadian.
Saluran televisyen rasmi Syria melaporkan bahawa pengganas melancarkan dua roket ke arah kampus.
Agensi berita rasmi Syria, Sana, menyatakan bahawa ia merupakan hari pertama peperiksaan dan para pelajar serta mereka yang berlindung di universiti itu merupakan antara mereka yang menjadi mangsa kejadian.
Selain pelajar, bangunan kampus universiti itu menempatkan sekitar 30,000 penduduk Syria yang melarikan diri daripada beberapa bahagian bandar itu yang musnah akibat pertempuran sejak pihak pemberontak menguasai banyak kejiranan bermula Julai lalu.
Rakaman video yang dimuat naik ke Internet oleh para pelajar universiti itu menunjukkan tangisan mereka yang terselamat berlari mencari perlindungan dalam bagunan kampus.
Letupan itu terkena kawasan dekat asrama universiti dan bangunan fakulti seni bina, menurut kumpulan pemantau hak asasi manusia, Syrian Observatory for Human Rights, yang berpangkalan di Britain.
Menurut kumpulan itu, terdapat laporan bercanggah mengenai serangan dari udara dan dua letupan di bumi.
Keganasan terbaru itu berlaku sedang Russia menolak usaha yang dipimpin Switzerland di Majlis Keselamatan PBB bagi mendapatkan tokoh utama dalam rejim Assad untuk dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), sebagai tidak produktif.
Hanya Majlis Keselamatan mempunyai hak merujuk kes Syria ke mahkamah di The Hague itu kerana Syria bukanlah anggota ICC.
Kelmarin, Russia mengatakan rujukan kepada ICC bagi membicarakan tokoh utama Syria atas tuduhan jenayah perang boleh memburukkan krisis. - AFP.


























