QUETTA (Pakistan): Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf, semalam mengumumkan pemecatan Ketua Menteri Baluchistan, Aslam Raisani, ekoran kejadian dua letupan bom yang mengorbankan ratusan penganut fahaman Syiah, minggu lalu.
Ketika kejadian itu Aslam dikatakan di London mendapatkan rawatan kesihatan.
Pemecatan itu diambil selepas ahli keluarga mangsa enggan mengebumikan mereka kerana membantah tiada perlindungan pemerintah pusat dan wilayah ke atas penganut fahaman Syiah di wilayah bergolak itu.
Dalam kejadian Khamis lalu, pengebom nekad telah meletupkan dirinya di pusat snuker membunuh 92 orang.
Lebih kurang 120 orang lagi disahkan cedera dalam kejadian itu yang didakwa dilakukan oleh militan Sunni.
Penganut Syiah di Pakistan sebahagian besarnya adalah etnik Hazara.
Encik Ashraf melakukan kunjungan segera ke sini kelmarin bertemu keluarga mangsa dan pemimpin etnik Hazara.
Beliau kemudian bersetuju menerima hampir kesemua tuntutan puak Hazara dan Syiah, termasuk memecat ketua menteri dan pemerintah negeri Baluchistan itu.
Beliau juga bersetuju meletakkan Baluchistan di bawah undang-undang darurat selama dua bulan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan kawalan keselamatan yang lebih ketat. - AFP, Reuters

No comments:
Post a Comment