ISTANBUL: Perikatan pembangkang Syria awal semalam memilih seorang aktivis Islam dan pengurus teknologi maklumat (IT) yang berpendidikan di Amerika Syarikat untuk memimpin pemerintah sementara bagi mentadbir kawasan yang berjaya dirampas pasukan pemberontak daripada tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Ghassan Hitto menerima 35 undi daripada 48 undi yang dibuang oleh 63 anggota aktif Perikatan Kebangsaan Syria (SNC) semasa mesyuarat di Istanbul.
Keputusan undian telah dibacakan oleh anggota perikatan, Hisham Marwa, dan ia disambut tepukan gemuruh anggota Perikatan Kebangsaan Syria (SNC)yang telah menunggu sehingga jam 1 pagi (waktu tempatan) untuk mendengar keputusan tersebut.
"Saya rindukan isteri dan anak-anak serta menanti untuk bertemu mereka tidak lama lagi," kata Hitto, yang telah berdekad-dekad tinggal di Amerika dan baru-baru ini berpindah ke Turki dari Texas untuk membantu menyelaras bantuan ke kawasan-kawasan yang kini dikuasai pemberontak.
Ketika ditanya apakah keutamaan pertama pemerintah sementaranya, Hitto berkata beliau merancang untuk menyampaikan ucapan lewat semalam bagi menggariskan rancangannya.
Anggota SNC, perikatan pembangkang utama Syria, berharap pemerintah baru itu akan menyatukan pemberontak yang kini menentang askar Assad dan menyediakan perkhidmatan kepada warga Syria yang tinggal di kawasan yang dikuasai pemberontak.
Kebanyakan kawasan itu dalam keadaan teruk akibat perang saudara Syria dan kini mengalami masalah kekurangan makanan, bekalan elektrik dan khidmat perubatan.
Sedang pihak pemberontak mara di utara dan timur Syria, beberapa kumpulan campuran pemberontak telah cuba mengisi kekosongan akibat pengunduran pemerintah Syria dengan mengaturkan rondaan keselamatan, membuka semula kedai roti dan mengendalikan mahkamah serta penjara.
Tidak dapat dipastikan jika kumpulan-kumpulan itu, yang kebanyakannya mengambil alih pentadbiran bandar mereka sendiri, akan menerima kuasa luar, terutama kumpulan yang dipimpin seorang warga Syria yang telah berdekad-dekad berada di luar negara.
Pemilihan Hitto menyusuli dua percubaan yang gagal untuk membentuk pemerintah sementara akibat perbalahan di kalangan pihak pembangkang.
Jika sebelum ini anggota SNC mengatakan mereka kurang mendapat sokongan an tarabangsa untuk membolehkan mereka menonjolkan kekuasaan mereka kepada kumpulan-kumpulan di Syria, pemerintah sementara baru ini juga dijangka menghadapi masalah sama.
Pemerintah sementara itu dijangka menghadapi cabaran besar, bermula dengan keupayaannya mendapatkan pengiktirafan daripada puak pemberontak lain di tanah air.
Menurut Adib Shishakly, wakil SNC ke negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GNC), pemerintah sementara itu perlu mencari jalan untuk bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan pemberontak yang lain.
"Anda hanya boleh memerintah dengan menyediakan perkhidmatan, (dan ia) memerlukan dana," katanya.
Pembentukan pemerintah sementara oleh SNC menjadikan peluang mengakhiri peperangan melalui rundingan dengan rejim Encik Assad semakin tipis, huraian yang lebih disukai Amerika dan negara kuasa dunia lain.
Sebaliknya, Amerika menyokong pelan damai yang diusulkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, yang menyeru agar pemerintah sementara dibentuk dengan wakil kedua-dua pihak pembangkang dan rejim Assad. - AP
