Tuesday, 17 September 2013

Bukti Senjata Kimia Di Syria



NEW YORK: Pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menemui bukti jelas dan meyakinkan bahawa roket membawa gas saraf digunakan dalam serangan senjata kimia di luar Damsyik pada 21 Ogos lalu.
Pengesahan itu terkandung dalam laporan yang dibentangkan kepada Majlis Keselamatan PBB kelmarin.
"Sampel sekitaran, bahan kimia dan perubatan yang kami kumpul menunjukkan bukti jelas dan meyakinkan bahawa roket yang membawa gas saraf sarin telah digunakan," kata laporan itu.
Ketika ditemui wartawan selepas memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, berkata: "Ini satu jenayah perang... dan penggunaan senjata pemusnah raya terburuk dalam abad ke21."
Beliau berkata laporan itu turut mendedahkan bagaimana doktor merawat orang awam yang kelihatan tidak mempunyai sebarang kesan cedera di jalan-jalan raya Ghouta beberapa jam selepas serangan itu.
Laporan tersebut tidak pula mempunyai mandat untuk menyatakan sama ada serangan kimia itu dilancarkan pemerintah Syria atau golongan pemberontak.
Bagaimanapun, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius, berkata bukti yang dibentangkan merinyu PBB, termasuk butiran trajektori roket yang digunakan, memberi gambaran jelas bahawa pemerintah bertanggungjawab atas serangan yang mengorbankan sekitar 1,400 orang itu.
Duta Amerika Syarikat ke PBB, Samantha Power, ketika ditemui wartawan selepas taklimat Majlis Keselamatan kelmarin, berkata "butiran teknikal laporan PBB itu jelas membayangkan bahawa hanya rejim (pemerintah Syria) yang mampu melancarkan serangan senjata kimia sebesar itu".
Power berkata salah satu senjata yang digunakan dalam serangan itu, iaitu roket 122mm, telah digunakan askar pemerintah dalam serangan lain sebelum ini.
Menurutnya, Amerika tidak mempunyai bukti bahawa pemberontak Syria telah menghasilkan atau menggunakan roket serupa itu. - AP, AFP.


Sunday, 15 September 2013

Bantahan Miss World Berterusan





JAKARTA: Kumpulan tegar Islam di Indonesia kembali melakukan bantahan di ibu kota negara itu dan dua lagi bandar bagi menentang peraduan ratu cantik Miss World yang diadakan di pulau peranginan, Bali.
Beratus-ratus anggota Barisan Pertahanan Islam dan Forum Persatuan Islamik mengadakan perhimpunan lewat kelmarin di Jakarta.
Mereka mengibarkan sepanduk dengan slogan "Tolak Miss World" dan "Miss World ke Neraka".
Bantahan serupa turut diadakan di bandar-bandar Jawa Timur, Jember dan Banyuwangi, di mana polis menghalang para penunjuk perasaan daripada meneruskan perjalanan ke Bali.
Peraduan ratu cantik Miss World yang ke-63 dimulakan di Bali Ahad lalu setelah penunjuk perasaan mengadakan bantahan selama berhari-hari.
Sedang pertandingan Miss World berlangsung di Bali, satu lagi pertandingan turut diadakan di Indonesia tetapi pertandingan itu dikhususkan untuk golongan Muslimah.
Pertandingan Dunia Muslimah itu akan diadakan di Jakarta lusa dan merupakan "jawapan Islam kepada (pertandingan) Miss World", kata pengasas pertandingan itu, Eka Shanti, kelmarin.
"Dunia Muslimah adalah pertandingan kecantikan tetapi keperluannya berbeza daripada Miss World - anda harus warak, menjadi contoh positif dan menunjukkan bagaimana anda mengimbangi kerohanian dalam dunia moden hari ini," jelas Shanti.
Seramai 20 peserta akhir pertandingan Dunia Muslimah telah dipilih daripada lebih 500 peserta.
Peserta akhir dari Iran, Malaysia, Brunei, Bangladesh, Nigeria dan Indonesia akan memperagakan fesyen Islamik dalam apa yang dikatakan Shanti sebagai peluang menunjukkan wanita Islam muda bahawa mereka tidak perlu menunjukkan bahagian "kurang sopan" seperti rambut dan bahu untuk kelihatan cantik. - AP, AFP.

Tujuh Hari Untuk Assad





GENEVA: Pengiraan detik akhir telah bermula bagi misi sukar dan berbahaya untuk menghapuskan senjata kimia Syria, dengan pemerintah negara itu diberikan tempoh hanya tujuh hari untuk mendedahkan simpanan rahsia senjata kimianya dan membenarkan pasukan merinyu ke negara yang bergolak akibat perang.
Dalam usaha diplomatik mendadak dan tanpa henti di Geneva, Amerika Syarikat dan Russia membincangkan rangka kerja penting bagi membuka dan menghapuskan salah satu simpanan senjata kimia paling besar di dunia.
Menjelang Jumaat ini, Presiden Syria, Bashar al-Assad, berhadapan ujian pertamanya bagi membuktikan kesungguhan pentadbirannya dalam komitmen mereka meletakkan senjata kimia Syria di bawah kawalan antarabangsa.
Perjanjian yang diusahakan di Geneva harus diberikan kepada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia untuk dipersetujui, tetapi dalam masa tujuh hari Assad mesti memberikan pengisytiharan penuh tentang sejauh mana program rahsia beliau.
Amerika percaya Syria mempunyai sekitar 45 tapak yang mempunyai kaitan dengan program senjata kimia, daripada jumlah itu hampir separuh mengandungi "agen kimia yang boleh dieksploitasi" untuk dicampurkan dengan gas toksik.
Persoalan masih ada tentang sama ada Amerika dan Russia boleh mencapai matlamat mereka mengalihkan dan menghapuskan sekitar 1,000 tan metrik bahan kimia menjelang pertengahan tahun depan tetapi pakar Amerika yang menghadiri rundingan tiga hari dengan Russia, bertegas ia boleh dilakukan.
"Ia sangat, sangat, sukar tetapi ia boleh dilakukan," kata seorang pegawai pentadbir Amerika, sementara seorang lagi menyifatkan jadual itu sebagai "bercita-cita tinggi".
Syria kini di tengah-tengah perang saudara yang telah meragut sekitar 110,000 jiwa sejak Mac tahun lalu.
Pegawai Amerika berkata bahawa walaupun keadaan huru-hara di Syria, rejim Assad telah mengawal ketat simpanan senjata kimia dan mereka menjangka mudah untuk ke kawasan yang dikuasai pemerintah Syria.
Sementara itu, pihak pembangkang Syria semalam menuntut agar masyarakat antarabangsa melarang rejim Damsyik menggunakan kuasa tentera udara di kawasan bandar, selain melarang penggunaan senjata kimia.
"Perikatan Kebangsaan Syria (SNC) bertegas larangan menggunakan senjata kimia, yang telah menyebabkan kematian lebih 1,400 orang awam, dilanjutkan kepada penggunaan misil balistik dan pesawat di kawasan bandar," SNC dalam satu kenyataan. - AFP, Reuters.

Quebec:Tiada Agama Ditempat awam





MONTREAL: Beribu-ribu penduduk, kebanyakannya beragama Islam, membanjiri jalan raya di Montreal kelmarin sebagai melahirkan rasa marah terhadap rancangan melarang pekerja awam memakai sebarang pakaian bersifat keagamaan di Quebec.
Larangan memakai tudung, serban atau sebarang pakaian yang melambangkan agama merupakan sebahagian daripada usul menggubal Piagam Nilai (Charter of Values) wilayah itu.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan, "Tidak kepada piagam" sambil mengulangi kata-kata, "Quebec bukan Perancis". Ini rujukan kepada undang-undang serupa di Perancis yang telah berkuatkuasa lebih dua tahun lalu.
Usul tersebut akan dibawa ke parlimen tidak lama lagi dan telah mencetuskan perdebatan hangat sejak butirannya didedahkan kepada media beberapa minggu lalu.
Jika diluluskan, pekerja sektor awam akan dilarang memakai "simbol keagamaan yang ketara", termasuk tudung, yarmulka (tutup kepala kecil yang dipakai oleh lelaki Yahudi), sarban dan salib yang besar ke tempat kerja.
Usul itu juga memerlukan pengguna perkhidmatan awam "mendedahkan muka mereka sepenuhnya" - langkah yang disasarkan untuk melarang pemakaian niqab oleh sesetengah wanita Islam.
Namun, ia membenarkan pekerja awam memakai barang kemas bersifat keagamaan asalkan ia "tidak begitu ketara".
Menteri Quebec yang bertanggungjawab , Bernard Drainville, baru-baru ini berkata bahawa menghapuskan pemakaian pakaian bersifat keagamaan oleh pekerja awam akan membantu meningkatkan semangat perpaduan di kalangan penduduk Quebec.
"Cara terbaik menghormati semua penduduk Quebec, semua kepercayaan dan semua agama, adalah untuk wilayah ini tidak mempunyai agama," kata Drainville.
Tetapi pengecualian diberi kepada salib yang telah menghiasi dewan utama Perhimpunan Kebangsaan sejak 1936, katanya.
Beliau mengesahkan, salib itu akan kekal di tempatnya sebagai menghormati "warisan budaya" wilayah itu.
Usul tersebut telah mencetuskan kritikan keras.
Ahli politik federal seperti Menteri Pekerjaan, Pembangunan Sosial dan Berbilang Budaya, Jason Kennedy berkata usul itu akan "mengehadkan keupayaan rakyat Canada untuk mengambil bahagian dalam masyarakat kita, dan akan menjejas pengamalan kepercayaan mereka." - AFP.

100 Anggota MNLF Tumpas



ZAMBOANGA: Pihak berkuasa Filipina berkata hampir 100 anggota gerila Islam, yang menahan berpuluh orang sebagai tebusan selama seminggu di selatan negara itu, telah dibunuh atau ditangkap dalam usaha pemerintah menawan semula kawasan pantai yang dikuasai pemberontak.
Setiausaha Dalam Negeri Filipina, Mar Roxas, dan pegawai lain berkata pasukan pemerintah meneruskan serangan semalam tetapi cuba mengelakkan daripada mencederakan tebusan yang tidak dapat dipastikan jumlahnya yang masih ditahan pemberontak Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).
Kumpulan pemberontak MNLF menahan tebusan di kawasan pantai luar bandar Zamboanga.
Menurut pihak berkuasa sekurang-kurangnya 51 pemberontak telah dibunuh dan 42 yang lain ditangkap.
Seramai enam polis dan anggota tentera, bersama empat orang penduduk kampung, juga turut terbunuh.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala, berkata pasukan keselamatan pemerintah telah berjaya menawan semula kawasan yang dikuasai pemberontak sebelum ini.
Katanya, pasukan keselamatan pemerintah masih bertempur dalam usahanya untuk cuba menawan kawasan-kawasan lain yang masih dikuasai lebih 100 anggota pemberontak.
Serangan itu menarik perhatian kepada kerumitan mengakhiri konflik di sepertiga selatan Filipina yang menjadi tempat persembunyian beberapa kumpulan pemberontak Islam bersenjata dan masalah bertambahnya senjata api tidak berlesen.
Lapangan terbang dan pelabuhan di kawasan itu masih ditutup semalam akibat krisis yang telah melumpuhkan bandar dengan sejuta penduduk itu.
Pertempuran telah menyebabkan beberapa kejiranan musnah dijilat api dan memaksa berpuluh ribu penduduk melarikan diri. - AP, AFP.