Friday, 20 December 2013

Aktivis Saudi Dipenjara 4 Tahun Dan Sebat 300


RIYADH - ARAB SAUDI. Mahkamah di Arab Saudi menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan 300 sebatan terhadap seorang aktivis selepas didapati bersalah kerana menuntut demokrasi di negara itu, menurut Persatuan Hak Asasi Awam dan Politik (ACPRA).

Jurucakap ACPRA memberitahu bahawa Omar al-Saeed yang tidak diwakili peguam ketika dibicarakan adalah ahli keempat persatuan itu yang dihukum penjara pada tahun ini.

Sementara itu, laporan dipetik dari Reuters, Pemerhati Hak Asasi Manusia di Timur Tengah, Adam Coogle menyifatkan ia sebagai satu lagi contoh keangkuhan pihak berkuasa Saudi.

"Mereka seperti tidak boleh menerima sebarang kritikan terhadap dasar negara atau pencabulan hak asasi manusia di negara tersebut," katanya.

Boikot Israel




WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Kira-kira dua pertiga daripada 1,252 ahli akademik Persatuan Pengajian Amerika Syarikat (Asa), kelmarin sebulat suara menyokong resolusi memboikot Israel.

"Semasa perbincangan terbuka baru-baru ini, beberapa ahli meminta kami menggubal draf resolusi yang bertujuan untuk 'menghukum' Israel kerana melakukan penindasan berterusan ke atas penduduk Palestin," jelas jurucakap Asa.

Kempen itu juga bertujuan untuk memutuskan hubungan dan kerjasama dengan semua institusi pengajian di Israel yang telah dijalinkan sejak sedekad lalu.

Difahamkan, dipetik dari AFP, persatuan terbesar yang melakukan penyelidikan ke atas sejarah dan adat kebudayaan AS itu turut melancarkan kempen secara dalam talian bagi meraih sokongan masyarakat.

Mei lalu, ahli kosmologi Britain, Stephen Hawking menarik diri daripada sebuah persidangan berprestij di Israel sebagai protes terhadap pendudukan rejim Zionis di Tebing Barat.

Kerajaan Perpaduan Hamas-Fatah




Hamas dilaporkan bersetuju menyertai kerajaan perpaduan dengan Fatah.

Agensi berita Ma’an melaporkan, Hamas secara rasmi memaklumkan perkara itu kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas.


“Pemimpin Hamas, Khalid Mashaal dan Perdana Menteri Ismail Haniyeh menghubungi Mahmoud untuk membincangkan hal itu,” memetik laporan tersebut kepada PIC.
 

Tuduhan Baru Untuk Mursi




KAHERAH - MESIR. Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi bakal dibicarakan atas beberapa pertuduhan baharu termasuk bersubahat dengan pergerakan asing bagi melakukan keganasan.

Al Jazeera melaporkan, pertuduhan yang diumumkan pendakwa raya kanan semalam, berpotensi membawa hukuman mati.


"Perbicaraan tersebut turut membabitkan dua orang pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin dan 32 defendan lain.


"Mereka didakwa membocorkan rahsia pihak tentera kepada negara luar," menurut laporan itu kepada Al Jazeera.


Dalam satu kenyataan, pendakwa raya berkata, Ikhwanul Muslimin dituduh melakukan keganasan di Mesir serta menyediakan pelan yang membabitkan pergerakan Hamas di Genting Gaza dan pergerakan Hezbollah di Lubnan.


Hamas bagaimanapun mengutuk tuduhan berkenaan yang disifatkan sebagai satu lagi usaha mengaitkannya dalam hal ehwal dalaman Mesir dan bertujuan memburukkan nama pergerakan itu kepada penyokong rakyat Palestin terutamanya Gaza.


Mursi kini masih berdepan dengan perbicaraan atas pertuduhan menghasut keganasan ketika tunjuk perasaan di perkarangan Istana Presiden setahun lalu ketika menjawat jawatan Presiden.