RIYADH: Aktivis wanita Arab Saudi yang pernah dipenjarakan kerana melanggar larangan memandu kereta, Manal al-Sharif, 33 tahun, berkata, masanya akan tiba bagi wanita di negara berkenaan mendapat hak untuk memandu.
Dalam ulasan yang dihantar kepada sebuah laman web antarabangsa, Manal berkata wanita Arab Saudi perlu terus memperjuangkan hak itu kerana kerajaan tidak akan memberinya dengan mudah.
"Persoalannya bukan sama ada wanita wajar diberi hak memandu di negara ini tetapi sama ada mereka sedia memperjuangkan hak untuk memandu kereta.
"Jawapan saya adalah ya, jadi terpulang kepada wanita untuk berusaha mendapatkan hak itu," kata pakar komputer di syarikat pengeluar minyak Aramco itu.
Sementara itu, dalam satu rencana yang disiarkan akhbar Alhayat, Manal berkata beliau kini menghadapi apa yang disifatkannya kempen permusuhan bersepadu di Arab Saudi.
"Saya pernah dituduh ejen Israel penganut Syiah yang bekerja untuk Iran," katanya.
Manal juga terkejut apabila mendapat tahu anak lelakinya dipukul rakan sekolah kerana dia "anak Manal al-Sharif".
Arab Saudi merupakan satu-satunya negara di dunia yang melarang wanita daripada memandu.
Sebelum ini, Manal telah menjadi simbol satu kempen membenarkan wanita memandu selepas beliau ditahan 10 hari sebelum dibebaskan pada Mei 2011.
Manal ditahan pihak berkuasa selepas memuat naik rakaman video yang menunjukkan beliau memandu keretanya sendiri di bandar timur Khobar.
Pada Jun 2011, para aktivis wanita melancarkan kempen 'Women2Drive' di rangkaian media sosial dan ramai daripada mereka turut melanggar larangan itu dengan menyiarkan video-video mereka sedang memandu. - Agensi.

No comments:
Post a Comment