GENEVA: Pengiraan detik akhir telah bermula bagi misi sukar dan berbahaya untuk menghapuskan senjata kimia Syria, dengan pemerintah negara itu diberikan tempoh hanya tujuh hari untuk mendedahkan simpanan rahsia senjata kimianya dan membenarkan pasukan merinyu ke negara yang bergolak akibat perang.
Dalam usaha diplomatik mendadak dan tanpa henti di Geneva, Amerika Syarikat dan Russia membincangkan rangka kerja penting bagi membuka dan menghapuskan salah satu simpanan senjata kimia paling besar di dunia.
Menjelang Jumaat ini, Presiden Syria, Bashar al-Assad, berhadapan ujian pertamanya bagi membuktikan kesungguhan pentadbirannya dalam komitmen mereka meletakkan senjata kimia Syria di bawah kawalan antarabangsa.
Perjanjian yang diusahakan di Geneva harus diberikan kepada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia untuk dipersetujui, tetapi dalam masa tujuh hari Assad mesti memberikan pengisytiharan penuh tentang sejauh mana program rahsia beliau.
Amerika percaya Syria mempunyai sekitar 45 tapak yang mempunyai kaitan dengan program senjata kimia, daripada jumlah itu hampir separuh mengandungi "agen kimia yang boleh dieksploitasi" untuk dicampurkan dengan gas toksik.
Persoalan masih ada tentang sama ada Amerika dan Russia boleh mencapai matlamat mereka mengalihkan dan menghapuskan sekitar 1,000 tan metrik bahan kimia menjelang pertengahan tahun depan tetapi pakar Amerika yang menghadiri rundingan tiga hari dengan Russia, bertegas ia boleh dilakukan.
"Ia sangat, sangat, sukar tetapi ia boleh dilakukan," kata seorang pegawai pentadbir Amerika, sementara seorang lagi menyifatkan jadual itu sebagai "bercita-cita tinggi".
Syria kini di tengah-tengah perang saudara yang telah meragut sekitar 110,000 jiwa sejak Mac tahun lalu.
Pegawai Amerika berkata bahawa walaupun keadaan huru-hara di Syria, rejim Assad telah mengawal ketat simpanan senjata kimia dan mereka menjangka mudah untuk ke kawasan yang dikuasai pemerintah Syria.
Sementara itu, pihak pembangkang Syria semalam menuntut agar masyarakat antarabangsa melarang rejim Damsyik menggunakan kuasa tentera udara di kawasan bandar, selain melarang penggunaan senjata kimia.
"Perikatan Kebangsaan Syria (SNC) bertegas larangan menggunakan senjata kimia, yang telah menyebabkan kematian lebih 1,400 orang awam, dilanjutkan kepada penggunaan misil balistik dan pesawat di kawasan bandar," SNC dalam satu kenyataan. - AFP, Reuters.

No comments:
Post a Comment